mutakhir

'Tuanku panggil ayahanda'

Mersing: “Saya terkejut apabila Tuanku memanggil saya ayahanda sepanjang menginap di rumah ini ketika Kembara Mahkota Johor 2004,” kata Mohd Khalid Ab Talib, 67, dari Kampung Bukit Pasir Semaloi, Endau di sini yang mempunyai kenangan terindah apabila rumahnya menjadi persinggahan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika bergelar Tunku Mahkota Johor.

Mohd Khalid berkata, Sultan Ibrahim pada ketika itu turut memanggil isterinya, Aminah Ismail, 62 dengan panggilan bonda, sekali gus mengurangkan rasa kekok ketika melayan baginda sepanjang bermalam di rumahnya.

“Saya diberitahu bahawa Tunku Mahkota Johor akan bermalam di rumah ini ketika Kembara Mahkota Johor oleh Pejabat Daerah Mersing dan pada awalnya, kami bimbang sekiranya baginda tidak selesa tinggal bersama rakyat seperti kami.

“Tetapi sangkaan saya ternyata meleset apabila Tuanku pada ketika itu langsung tidak menunjukkan rasa kekok.

“Walaupun anak raja, namun Tuanku sentiasa menghormati orang tua dan kami rasa amat selesa apabila Tuanku memanggil saya ayahanda dan isteri dengan panggilan bonda sepanjang menjadi tetamu di rumah ini,” katanya.

Katanya, ketika berbual dengan Tuanku, baginda sering menasihatkan tiga anaknya supaya tidak mengabaikan pelajaran kerana hanya dengan berpelajaran dapat membantu mengubah nasib keluarga.

Menurut bekas pengawal keselamatan itu, apabila tiba waktu makan, dia perhatikan Sultan Ibrahim pada ketika itu langsung tidak kekok menjamah hidangan yang disediakan isterinya.

Sementara itu, Aminah berkata, mengenali Sultan Ibrahim dengan lebih dekat sepanjang menjadi tetamu di rumahnya, dia menyifatkan Tuanku sebagai seorang yang rendah diri dan peka dengan rakyatnya.

“Semoga Kemahkotaan Tuanku Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor dilimpahi rahmat Allah kerana baginda seorang raja yang berjiwa rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2015 @ 9:27am
d