mutakhir

100,000 bersatu kutuk

Kuala Lumpur: “Saya anggap (penghinaan) itu adalah cara dia untuk menarik perhatian ramai. Tak apalah sebab jenis manusia begini mungkin hanya ada satu dalam 1,000 orang saja.”

Demikian luahan penyanyi Black yang terkilan dengan kebiadapan seorang penunut wanita universiti awam (UA) kerana menyamakan wajah anak lelakinya, Khaleef Dayyan dengan seekor beruk di media sosial.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, 28, berkata, perbuatan wanita berkenaan mengeluarkan kata-kata penghinaan itu adalah tindakan terdesak untuk meraih perhatian umum dengan cara yang salah dan tidak beretika.

“Saya tak sangka dalam zaman serba maju begini masih ada segelintir manusia yang berfikiran kolot dan mempunyai hasad dengki dengan orang lain. Anak saya itu dilahirkan sempurna jadi tak elok dia bercakap begitu.

“Bila dia cakap begitu pada anak saya sama seperti dia menghina ciptaan Tuhan. Tapi saya percaya spesis macam dia (wanita itu) tidak banyak yang wujud lagi sebab majoriti manusia hari ini berhati baik dan positif,” katanya.

Black memberikan respons itu susulan komen negatif seorang siswi universiti tempatan menyamakan wajah anak lelakinya yang berusia dua bulan dengan rupa beruk berdasarkan sekeping gambar mereka sekeluarga yang dimuat naik di Facebook, baru-baru ini.

Menerusi komen itu, difahamkan wanita berkenaan mengajukan pertanyaan berbaur sindiran yang keliru sama ada anak itu adalah anak manusia atau anak seekor beruk.

Bagaimanapun, keceluparan wanita itu ditempelak oleh lebih 100,000 pengikut penyanyi itu dalam medium sama.

Ia adalah insiden pertama berlaku pada Black membabitkan keluarganya menerusi media sosial sejak anaknya dilahirkan pada 13 Januari lalu.

Anak sulung itu adalah hasil perkongsian hidup Black dengan isterinya Naquia Yasirah Mohd Khairi atau Cira.

Black berkata, dia sedia maklum dan terbuka untuk menerima kritikan serta komen pengikut media sosial terhadap golongan selebriti namun setiap kenyataan itu perlu mempunyai batas.

“Saya sedar dan tak boleh tutup mulut orang untuk bercakap atau komen apa saja kerana saya seorang selebriti. Mereka (peminat) berhak untuk mengikuti perkembangan saya termasuk hal peribadi tapi janganlah melampau.

“Saya tak marah cuma ralat dengan provokasi yang ditimbulkan perempuan itu. Baik pada anak saya atau anak sesiapa pun, perkataan sedemikian tak sepatutnya keluar, bukan?” katanya.

Tambahnya, dia juga berharap tindakannya yang jarang berkongsi gambar anaknya di media sosial tidak disalah ertikan kononnya mahu menyembunyikan bayi itu daripada tatapan umum.

“Bagi saya tak perlu nak dedah anak terlalu banyak di media sosial sebab ia tak bagus untuk dia nanti. Bukannya tak kongsi langsung tapi sikit-sikit saja.

“Biarlah dia alami sendiri pengalaman dengan media sosial ini bila dia besar nanti. Tak perlulah ibu bapa dia pula nak beria-ia buatkan akaun sosial itu sekarang sebab terlalu awal,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2015 @ 9:28am
d