mutakhir

Sharif 'gajah' tak kecewa

Oleh Ismail Muhamad

Kota Bharu: Walaupun kalah dan hilang wang pertaruhan, calon Bebas yang menggunakan lambang gajah, Sharif Mahmood, 59, berpuas hati dengan jumlah undi diterimanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, kelmarin.

Sharif mendapat 807 undi, satu-satunya calon Bebas popular yang memberikan saingan dalam pertembungan lima penjuru itu.

Pada PRK itu, PAS menerusi calonnya, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad berjaya mempertahankan kerusi berkenaan apabila menang dengan majoriti 10,092 undi.

“Saya tidak kisah hilang wang deposit kerana sedar berdepan dengan PAS selaku parti memerintah negeri ini yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan jentera besar.

“Mereka sudah tentu melakukan yang terbaik untuk mempertahankan kerusi tetapi saya anggap ini satu permulaan yang baik, apatah lagi bertanding sebagai calon Bebas yang tiada kekuatan dari segi jentera.

“Selain itu, kita juga terbatas dari segi kewangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sharif turut enggan menyifatkan kekalahannya sebagai penamat kepada perjuangan dalam politik, sebaliknya bersedia menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya akan datang.

“Jika kesihatan baik dan mempunyai sumber kewangan mencukupi, saya mahu bergelar calon lagi dan berbakti kepada masyarakat.

“Undian semalam (kelmarin) pun saya yakin datang daripada penduduk dan rakan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah jemu dengan pemerintahan PAS yang kurang menyerlah sejak 25 tahun lalu,” katanya yang juga pesara kerajaan itu.

Sementara itu, Fadzillah Hussin, 55, yang turut bertanding atas tiket Bebas menggunakan lambang kunci menganggap pentas PRK lalu menonjolkan dirinya sebagai ejen penggalak perpaduan dan penyatuan ummah.

Dia yang lebih mesra dipanggil Kak Lah berkata, sudah melakukan yang terbaik untuk membuka mata pengundi DUN Chempaka dan amat menghargai jumlah 89 undi diterimanya.

Bagi Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, kekalahan kali ketiga sebagai calon Bebas tidak memadamkan semangatnya untuk terus bertanding pada pilihan raya.

Menurutnya, dia tidak akan berputus asa meneruskan perjuangan politiknya dan menganggap tiga kekalahan itu sebagai pengorbanan berbaloi.

Disiarkan pada: March 24, 2015 @ 9:13am
d