mutakhir

Pelajar asing maut dibelasah

Cyberjaya: Seorang pelajar lelaki warga Nigeria ditemui mati dengan kesan cedera parah di bahagian muka dipercayai selepas terbabit dalam pergaduhan berhampiran sebuah rumah kelab di sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Nwole David Namdi, 37, ditemui seorang pekerja binaan jam 7.30 pagi dalam keadaan terbaring berhampiran sebuah tapak projek di Cyber Height Villa, di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata, ketika ditemui, mangsa masih berpakaian lengkap selain mempunyai kesan kecederaan termasuk lebam di dahi, mata, mulut dan hidung.

Beliau berkata, siasatan di sekitar lokasi kejadian berjaya menemui beberapa salinan pasport, kad imigresen dan kad pelajar milik mangsa kira-kira 200 meter dari lokasi mayat ditemui.

“Kematian mangsa disahkan pasukan perubatan Hospital Putrajaya. Mayat mangsa kini ditempatkan di Hospital Serdang untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, siasatan dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang juga gagal menemui sebarang jejak suspek.

Mohd Yusoff berkata, siasatan awal pakar patologi juga mendedahkan mangsa dipercayai meninggal kira-kira enam jam sebelum mayatnya ditemui.

Menurutnya, mangsa juga dipercayai meninggal dunia akibat kesan dipukul atau ditumbuk dengan tangan atau dipukul dengan objek tumpul.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan termasuk mengesan saspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2015 @ 9:15am
d