mutakhir

Tayar celup selamat digunakan

Kerajaan belum bercadang untuk mengharamkan tayar celup memandangkan ia selamat digunakan berdasarkan piawaian yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, berdasarkan kajian di peringkat antarabangsa, tayar celup adalah selamat digunakan oleh semua kenderaan kerana ia setanding tayar pneumatik baru.

Katanya, kajian juga mendapati tayar celup dapat menjimatkan kos pembuatan tayar sebanyak 30 peratus berbanding pembuatan tayar penumatik baru.

“Tayar celup selamat digunakan kerana mematuhi Malaysian Standard (MS) 224: Specification for Retreading of Pneumatic Rubber Tyres for Passenger Car and Commercial Vehicle serta peraturan United Nations R108 (Retreaded Pneumatic Tyres) dan R109 (Retreaded Pneumatic Tyres for Commercial Vehicles).

“Berdasarkan kajian ilmiah di peringkat antarabangsa juga mendapati tayar celup selamat digunakan kerana ia setanding tayar pneumatik baru,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) sama ada kementerian akan mengharamkan penggunaan tayar celup memandangkan serpihan tayar jenis itu sering dilihat di atas lebuh raya sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai risiko keselamatan terhadap pemandu kenderaan yang lain.

Menurut Abdul Aziz, berdasarkan Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya Malaysia 2013 Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak lapan kes kemalangan jalan raya berpunca daripada masalah tayar celup.

Katanya, ia membabitkan kira-kira 0.03 peratus kes yang berlaku dan isu serpihan tayar celup yang tertinggal di jalan raya berpunca daripada kaedah penggunaan dan penyelenggaraan tayar yang tidak dilakukan secara baik serta teratur oleh pemilik atau pemandu lori berkenaan.

Disiarkan pada: March 24, 2015 @ 9:56am
d