mutakhir

'Pakar pujuk' dicekup

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Seorang suri rumah dan seorang kakitangan sebuah jabatan kerajaan dikenal pasti polis antara ‘pakar pujuk’ yang giat merekrut belia negara ini menyertai Kumpulan Militan Negara Islam (IS) di Syria.

Suspek wanita berusia 28 tahun dari Kedah dan suspek lelaki berusia 29 tahun dari Sabah itu dikesan aktif menggunakan media sosial untuk menarik minat belia pergi ke Syria.

Malah, suspek dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang rakyat Malaysia yang sudah menyertai kumpulan berkenaan di Syria.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek pertama seorang suri rumah ditahan selepas dikesan cuba menyusup ke Syria melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 7 Mac lalu.

Menurutnya, suspek kedua bagaimanapun diberkas ketika cuba masuk ke negara ini dipercayai untuk merekrut beberapa lagi rakyat tempatan menyertai kumpulan IS.

“Siasatan mendapati suspek lelaki terbabit keluar ke negara jiran awal Februari tahun ini dan dia ditahan ketika cuba masuk semula ke negara ini menggunakan pasport negara jiran.

“Semua suspek disyaki melakukan kesalahan mengikut bab VIA- kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574). Mereka disiasat mengikut Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Sebelum ini, tiga suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 25 hingga 30 tahun turut ditahan polis selepas disyaki merancang menyertai IS di Syria.

Ketiga-tiga individu terbabit ditahan pada 7 hingga 15 Januari lalu di KLIA.

Disiarkan pada: March 24, 2015 @ 10:12am
d