mutakhir

46 bayi kongsi hari bersejarah

Johor Bahru: Kerajaan negeri mempertimbang untuk meraikan ulang tahun bayi yang dilahirkan pada hari Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata, majlis itu bagi memperingati tarikh bersejarah kepada seluruh rakyat Johor itu.

“Sehingga jam 12 tengah hari semalam, 46 bayi dilahirkan di 11 hospital kerajaan di Johor dan enam daripadanya adalah lelaki manakala lima lagi perempuan.

“Bayi terbabit bertuah kerana menjadi sebahagian sejarah negeri ini dan saya berharap semangat kecintaan dan jati diri rakyat Johor diterapkan dalam diri mereka apabila dewasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hamper kepada 11 pasangan ibu bapa menerima kelahiran bayi di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Hamper barangan penjagaan bayi bernilai RM100 setiap satu itu disumbangkan Pejabat Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar. Hadir sama, Pengarah HSA Dr Rooshaimi Merican A Rahim Merican.

Sementara itu, pembantu perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Norshaliza Mohd Basarudin, 32, berkata, dia bersyukur melahirkan anak lelaki ketika rakyat Johor meraikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor.

Norshaliza yang bersalin secara normal berkata, dia dan suami Noranizam Demin, 38, bercadang menamakannya Putera sempena memperingati hari bersejarah itu.

“Saya tidak sangka kerana dijangka bersalin Jumaat ini. Sebagai ibu, saya rasa bertuah kerana dia lahir sempena hari bersejarah ini,” katanya yang tinggal di Bandar Baru Kangkar Pulai, Skudai.

V Sarajaya, 26, dari Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, turut gembira apabila melahirkan anak sempena Hari Kemahkotaan Sultan Johor.

“Lega rasanya apabila selamat bersalin anak kedua ini secara normal dan bertambah teruja kerana hari kelahirannya pada hari bersejarah rakyat Johor,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2015 @ 10:26am
d