mutakhir

Potensi industri seni, budaya

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Malaysia mahu mencontohi Perancis yang berjaya dalam sektor pelancongan berasaskan seni dan budaya dengan pendapatan mencecah AS$256 bilion (RM934 bilion) setahun.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, industri kreatif di Malaysia meliputi seni dan budaya menyumbang kira-kira RM33 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Seni dan budaya adalah industri yang berpotensi menjana pendapatan negara yang lebih tinggi pada masa depan.

“Ada baiknya kita belajar daripada negara itu dan beberapa bandar raya lain di dunia tentang bagaimana mereka berjaya membangunkan strategi untuk mempromosikan industri berkenaan,” kata beliau ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Seni 2015 dan pelancaran buku ‘Rekayasa Kebudayaan’ di sini, semalam.

Buku dalam bahasa Malayu diterjemahkan daripada buku bahasa Perancis, Lingenierie Culturelle (Kejuruteraan Kebudayaan) itu dikarang oleh Claude Mollard.

Persidangan dua hari mulai semalam itu yang dianjurkan buat julung kali di negara ini berjaya menarik 200 peserta tempatan dan luar negara.

Muhyiddin berkata, bandar raya Paris adalah contoh terbaik bagaimana seni dan budaya menjadi tarikan utama pelancong yang menyumbang kepada KDNK yang tinggi.

Kata beliau, bandar raya itu juga berada pada kedudukan lima wilayah terkaya di Eropah.

Dalam pada itu, beliau berkata, di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), industri kreatif diberikan geran RM17 juta untuk melaksanakan program jangka pendek dikenali sebagai ‘Quick Wins’ untuk persembahan seni bagi tempoh 2012 dan 2014.

Katanya lagi, selaras usaha mewujudkan masyarakat yang kaya dengan budaya pelbagai program dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran menghargai kebudayaan dan kesenian dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan industri yang berpotensi menyumbang kepada KDNK yang lebih tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2015 @ 9:42am
d