mutakhir

Dividen ASM 6.60 sen seunit

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 6.60 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015.

Agihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion di mana ia adalah peningkatan 6.8 peratus berbanding RM945.24 juta pada tahun lalu bagi memanfaatkan seramai 537,975 pemegang unit yang melanggan 15.29 bilion unit sehingga 22 Mac lalu.

Presiden PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata ASM berjaya memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM1.24 bilion sehingga 22 Mac lalu dengan keuntungan penjualan saham dalam syarikat menyumbang RM599.5 juta atau 48.5 peratus kepada jumlah terbabit.

“Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat menyumbang sebanyak RM459.9 juta atau 37.2 peratus manakala pendapatan pelaburan dalam instrumen jangka pendek (RM177.6 juta atau 14.3 peratus),” katanya pada majlis pengumuman tabung ASM di sini, semalam.

PNB turut mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG Pendidikan sebanyak 7.10 sen seunit, ASG Kesihatan (7.20 sen seunit) dan ASG Persaraan (7.05 sen seunit) bagi tempoh kewangan sama.

Beliau berkata, ASNB memperuntukkan sejumlah RM29.86 juta bagi agihan pendapatan ASG Pendidikan di mana ia akan memanfaatkan 52,250 pemegang unit yang melanggan 420.5 juta unit tabung itu.

“Untuk ASG Kesihatan, sejumlah RM39.52 juta diperuntukkan bagi agihan pendapatan tabung ini dan ia akan dinikmati 34,677 pemegang unit yang melanggan 548.9 juta unit manakala sejumlah RM12.53 juta diperuntukkan bagi ASG Persaraan di mana ia bakal memberi manfaat kepada 10,555 pemegang unit yang melanggan 177.7 juta unit tabung terbabit,” katanya.

Ketika mengulas lanjut mengenai pencapaian tabung terbabit, Ahmad Sarji berkata prestasi ASM dan ketiga-tiga tabung ASG pada tahun ini adalah masih baik dan kompetitif meskipun situasi ekonomi dan pelaburan semasa agak mencabar.

“Keadaan pasaran dijangka terus dipengaruhi oleh persekitaran global dalam jangka masa pendek dan sederhana berikutan pertumbuhan tidak setara ekonomi global dan perbezaan kadar faedah antara negara ekonomi utama dan membangun yang akan mempengaruhi aliran pelaburan dana antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2015 @ 9:55am
d