mutakhir

Hadiah isteri dibawa mati

Kulim: “Saya sempat menghadiahkan mendiang sebuah telefon bimbit sempena hari lahirnya pada 2 April depan beberapa jam sebelum mendiang maut dalam kemalangan jalan raya.

“Kami sempat makan malam buat kali terakhir pada jam 9 malam tadi (kelmarin),” kata Chua Chye Lan, 51, isteri kepada Ketua Balai Polis Kulim Hi-Tech Asisten Superintendan Chua Poh Teik, 58, yang maut selepas motosikal ditungganginya terbabas lalu terhumban ke dalam longkang di Jalan Taman Selasih menghala ke Keladi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kancil Lunas, di sini, selepas tamat menjalankan tugas.

Chye Lan berkata, mendiang seorang suami yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan kehilangannya amat dirasai seluruh keluarga mereka.

“Saya sempat menghadiahkan sebuah telefon bimbit sempena hari lahirnya walaupun tarikh lahirnya pada 2 April depan. Kami sempat makan malam bersama di rumah. Mendiang tidak menunjukkan sebarang perubahan malah bersikap seperti biasa.

“Selepas makan malam, mendiang keluar dan memaklumkan hendak ke pejabatnya di Balai Polis Kulim Hi-Tech, namun kira-kira jam 4 pagi adik menghubungi saya memaklumkan mendiang terbabit dalam kemalangan,” katanya yang ditemui di Bilik Forensik Hospital Kulim (HK), di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Abdullah Arshad berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dari arah Taman Selasih menghala ke Keladi dipercayai terbabas ke kanan jalan dan bergesel dengan tembok batu longkang sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam dua meter.

Disiarkan pada: March 25, 2015 @ 9:56am
d