mutakhir

Setem koleksi khas Sultan Johor

Johor Bahru: Ribuan rakyat berbilang bangsa di negeri ini tidak melepaskan peluang mendapatkan koleksi setem peringatan khas sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Sultan Johor Kelima yang dijual mulai semalam.

Tinjauan di Pejabat Pos Besar Johor Bahru mendapati rakyat segenap lapisan terutama peminat serta pengumpul setem membanjiri pekarangan pejabat pos seawal jam 7 pagi bagi menjadi pembeli terawal koleksi setem dan produk filateli peringatan khas berkenaan.

Pihak pengurusan pejabat pos juga dilihat turut membuka tiga kaunter khas bagi kemudahan pembeli.

Walaupun pembelian koleksi setem peringatan khas itu dihadkan kepada dua set setiap seorang, ia tidak melunturkan hasrat masyarakat berbilang bangsa mendapatkan koleksi setem yang dikeluarkan bagi memperingati hari atau sambutan istimewa.

Penyelia kilang, S Jega, 52, antara individu terawal berada di Pejabat Pos Besar di sini, berkata, dia lega apabila berjaya membeli dua set koleksi setem istimewa itu.

“Saya pengumpul setem tegar sejak berusia 17 tahun.

“Namun, koleksi setem Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim ini paling istimewa dan amat bermakna sebagai anak jati Johor.

“Koleksi ini rakaman sejarah yang amat berharga,” katanya.

Setem peringatan khas dikeluarkan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) itu memaparkan potret baginda pada setem bernilai 60 sen, 80 sen dan RM1 di atas lembaran dengan 14 keping setem.

Sampul Surat Hari Pertama yang turut memaparkan potret baginda bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris juga dijual semalam, pada harga 50 sen setiap satu, RM2.90 berserta set satu setem, RM5.50 dengan satu set lembaran mini, manakala folder berharga RM6 satu dan RM67.40 untuk satu set lengkap.

Setem itu direka khas Dekan Fakulti Seni Industri dan Teknologi Reka Bentuk Universiti Selangor Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob.

Pesara kerajaan, Mad Esa Denan, 74, yang sanggup datang dari Kluang berkata, dia tak mahu melepaskan peluang membeli koleksi setem itu di Pejabat Pos Besar Johor Bahru yang disifatkan tidak sama dengan mendapatkannya di tempat lain.

“Saya sampai dari Kluang pada jam 4 pagi supaya tidak terlepas peluang mendapatkan koleksi setem unik ini. Kemahkotaan Sultan Johor berlangsung di Johor Bahru dan kerana itu itu saya sanggup ke sini.

“Saya sudah memiliki lebih 50 album pelbagai setem termasuk keluaran khas seperti ini yang paling disayangi,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2015 @ 10:17am
d