mutakhir

340 pelajar teruja jumpa Lewis

Oleh Amir Mamat

Melaka: Juara bertahan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Lewis Hamilton membuat kejutan apabila muncul di hadapan 340 pelajar sekolah menengah yang menyertai Program PETRONAS All About Youth (PETRONAS AAY), di sini, semalam.

Kelibat pemandu Mercedes berusia 30 tahun di ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu disedari apabila diumumkan penganjur menyebabkan pelajar dari 17 sekolah menengah sekitar Melaka dan Pagoh, Johor terkejut.

Keadaan itu menyebabkan dewan riuh dengan sorakan pelajar sebelum mereka diminta meneruskan aktiviti menyiapkan membina replika menara berkembar PETRONAS menggunakan akhbar dan alat tulis.

Lewis mengambil peluang sempena perlumbaan F1 GP PETRONAS 2015 berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 27 hingga 29 Mac ini untuk menyertai program tanggungjawab sosial (CSR) PETRONAS itu.

Sambil menyifatkan kejutan diberi itu sebagai ‘hadiah’ untuk pelajar berkenaan, Lewis turut menyatakan rasa bangga apabila diberi peluang menjelajah ke beberapa lokasi menarik di negara ini.

“Saya berbangga dapat bekerja dengan PETRONAS yang memberi saya peluang untuk berada di negara yang cantik seperti Malaysia ini.

“Justeru, saya ingin menasihatkan kepada adik-adik (pelajar), jika mahu setiap impian tercapai, jangan sesekali membenarkan orang lain menghalangnya dan mengatakan kita akan gagal. Sebaliknya kita perlu meneruskan usaha dengan gigih sehingga mampu mencapainya,” katanya pada sesi soal jawab bersama pelajar.

Lewis turut mengadakan beberapa aktiviti pendidikan dan beramah mesra bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung, Tanjung Kling.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS Liz Kamaruddin berkata, penampilan istimewa Lewis bertujuan memberi peluang kepada pelajar berkenalan, bermesra dan bersua muka dengan pemandu nombor satu dunia itu di samping memperkenalkan pasukan yang membawa nama PETRONAS dalam kejohanan F1 setiap tahun itu.

Selain itu, katanya, program PETRONAS AAY itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar menerusi aktiviti dicipta khas untuk membina tahap kepemimpinan mereka pada masa depan.

“PETRONAS melihat projek PETRONAS AAY sebagai inisiatif bertujuan memberi semangat dan galakan kepada semua peserta menjadi belia cemerlang pada masa hadapan, sekali gus dapat memberi inspirasi kepada rakan mereka menyumbang ke arah pembangunan negara.

“Pada masa sama, program ini yang diperkenalkan PETRONAS sejak tahun lalu bertujuan memupuk pelajar menjadi seorang yang berbakat dan kemahiran memimpin menerusi bidang pendidikan, kemasyarakatan dan persekitaran.

“Kami melihat idea hebat ini wajar diperluaskan selepas ia bermula di Terengganu, Sabah dan Sarawak pada sepanjang tahun lalu dan Johor, Kelantan serta Melaka tahun ini dengan harapan badan korporat ini sentiasa mendekati lebih ramai pelajar demi pembangunan pendidikan negara,” katanya.

Sejak tahun lalu, 1,800 pelajar membabitkan 90 sekolah di enam negeri iaitu Johor, Kelantan, Melaka, Terengganu, Sabah dan Sarawak terbabit dalam program PETRONAS AAY ini.

Selepas menyertai program itu, setiap sekolah akan diberikan sumbangan sebanyak RM2,000 bagi membolehkan aktiviti berbentuk inovatif dilaksanakan.

Satu sekolah daripada setiap negeri dipilih untuk menyertai acara kemuncak PETRONAS AAY di Kuala Lumpur dan pemilihan adalah berdasarkan keaslian dan keunikan idea serta aktiviti, kesan projek, semangat berpasukan, kreativiti, kemampanan dan kejelasan penyampaian ketika mereka menyertai bengkel.

Disiarkan pada: March 25, 2015 @ 10:20am
d