mutakhir

'Geli-geli' awek Siam

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Cubaan sekumpulan ‘pelacur Siam’ bersembunyi dalam bilik rahsia di sebuah pusat hiburan ternama di Jalan Sultan Sulaiman di sini, gagal apabila semua mereka diberkas polis.

Dalam operasi jam 11.20 malam kelmarin, sepasukan anggota polis Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menahan 28 wanita warga Thailand itu yang cuba meloloskan diri sejurus serbuan dilakukan.

Ketua Unit Pencegahan D7 Bukit Aman Superintendan Razali Abu Samah berkata, kumpulan wanita seksi itu yang sedang leka melayan pelanggan bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran polis.

Menurutnya, wanita itu cuba melarikan diri melalui pintu rahsia di dalam bilik VIP di premis berkenaan.

“Bagaimanapun tindakan pantas pegawai dan anggota polis berjaya menggagalkan cubaan melarikan diri kumpulan wanita berusia 21 hingga 31 tahun itu.

“Kami (polis) turut memberkas seorang pengurus premis yang juga lelaki tempatan berusia 45 tahun,” katanya selepas tamat operasi.

Menurutnya, premis itu disyaki menyediakan wanita pelayan pelanggan bagi tujuan pelacuran yang dilakukan di hotel berhampiran.

Razali berkata, siasatan polis mendapati wanita warga Thailand terbabit mengenakan bayaran sekitar RM150 hingga RM200 kepada pelanggan yang mahukan perkhidmatan seks ditawarkan.

“Polis turut memeriksa 40 pelanggan di dalam premis itu sebelum semua mereka dibebaskan sebaik proses dokumentasi selesai.

“Kami mengambil masa kira-kira dua minggu untuk melakukan risikan selepas mendapat maklumat premis hiburan mewah itu menjalankan kegiatan tidak bermoral,” katanya.

Beliau berkata, premis hiburan setingkat itu sudah beroperasi hampir lima tahun dan mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Katanya, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Peraturan 39b dan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen.

Disiarkan pada: March 25, 2015 @ 10:28am
d