mutakhir

Taktik tidak menjadi

Oleh Adnan Mohamad dan Azma Razana Johari

Kuala Lumpur: Iklan mengenai kesalahan menjual rokok seludup terpampang di pintu masuk kedainya, namun seorang peruncit tidak peduli dengan arahan itu sebaliknya giat berniaga pelbagai jenis rokok putih dan keretek seludup demi mengaut keuntungan.

Itu antara situasi dikesan pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan berasingan serentak menerusi Ops Outlet di tiga negeri iaitu di Kelantan, Pulau Pinang dan Johor antara jam 12 tengah hari dan 3 petang semalam.

Di Tanah Merah, Kelantan sepasukan empat pegawai kastam menemui pelbagai jenis rokok seludup antaranya 54 bungkus rokok putih bernilai RM441.94 membabitkan pelbagai jenama termasuk John, selain beberapa jenama keretek dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Mustafa.

Walaupun di luar tertera risalah ‘Jangan Jual Atau Beli Rokok Seludup’, namun pemilik premis berusia 63 tahun itu menyembunyikan rokok seludup di dalam almari kecil bersebelahan kaunter, manakala rokok sah untuk jualan dipamerkan di rak rokok.

Lelaki itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Di Batu Kawan, Pulau Pinang, seorang lelaki ditahan selepas pemeriksaan lanjut di belakang premisnya di Bukit Tambun, menemui 2,000 batang rokok seludup jenama Tex.

Terdahulu ketika serbuan, peniaga itu enggan memberikan kerjasama selain memberitahu kepada pihak berkuasa bahawa dia tidak memiliki rokok seludup.

Di Johor Bahru, seorang lelaki warga India yang juga penjaga kaunter sebuah kedai runcit di Jalan Bunga Ros di Kampung Sulaiman Dato’ Menteri ditahan kerana menjual rokok tidak sah dalam serbuan JKDM Johor.

Dalam serbuan jam 12.10 tengah hari itu, pegawai dan anggota yang membuat pemeriksaan menahan lelaki berusia 34 tahun berkenaan selepas pemeriksaan menerusi Ops Outlet di premisnya menemui 18,240 batang rokok seberat 14.59 kilogram bernilai RM950.40 dengan nilai cukainya ditaksir RM9,057.

Rokok seludup itu ditemui disembunyikan dalam bilik di belakang kedai runcit berkenaan dan turut ditutup dengan kain.

Mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, untuk kesalahan pertama memiliki rokok seludup dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, penjara maksimum lima tahun atau denda 40 kali nilai barangan atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai boleh membantu JKDM dengan melaporkan sebarang kegiatan penjualan atau pengedaran rokok seludup dengan menghubungi talian 1800- 88-8855.

Disiarkan pada: March 25, 2015 @ 10:30am
d