mutakhir

16 berhimpit

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Menginap dalam kediaman yang tidak sebesar mana bersama 16 ahli keluarga cukup untuk membuatkan kehidupannya derita, apatah lagi perlu menjaga ibu yang terlantar akibat angin ahmar dan darah tinggi sejak empat tahun lalu.

Namun, Rosnani Mat Hassan, 37, tidak mengeluh bahkan gembira kerana berkat penjagaannya, ibunya Esah Idris beransur pulih dan kini mampu duduk selain menggerakkan tangan kiri.

Mengenai rumah sempit yang didiami bersama ahli keluarga yang ramai, Rosnani berkata, dia reda dengan keadaan itu kerana dia sendiri tidak mempunyai kediaman lain untuk dihuni bersama enam anak.

“Kami daripada keluarga susah, namun kesusahan ini tidak pernah membataskan saya untuk terus menjaga ibu yang sakit.

“Apatah lagi saya sudah bercerai setahun lalu, jadi memang terpaksa bertahan tinggal beramai-ramai di rumah ini bersama enam anak berusia empat hingga 14 tahun.

“Turut tinggal di sini ialah abang saya, Sudin, yang berusia 46 tahun bersama isteri dan tiga anak selain adik, Mohd Rosdi, 29, tiga beranak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Keseng, Kedai Buluh di sini.

Menurutnya, abang dan adiknya tidak berkemampuan untuk menyewa rumah lain menyebabkan masing-masing tinggal di rumah itu.

Rosnani berkata, perbelanjaan mereka sekeluarga sekadar cukup makan dan pakai sahaja hasil perkongsian adik beradik.

“Saya tidak bekerja kerana perlu menjaga ibu. Alhamdulillah, baru-baru ini ibu sudah boleh menggerakkan tangan kiri dan duduk tanpa sokongan.

“Mujur juga emak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan dan duit itu diguna untuk membeli lampin pakai buangnya.

“Dia juga tak perlu minum susu khas lagi kerana sudah boleh makan nasi,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2015 @ 9:46am
d