mutakhir

Projek tak berfungsi

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur : Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam menegur Radio Televisyen Malaysia (RTM) susulan pembangunan Pusat Berita Bersepadu RTM di Angkasapuri sebagai tidak menepati tajuk projek.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sehingga kini, pusat berita yang siap dibina pada Jun 2012 itu tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya disebabkan ketiadaan peralatan penyiaran yang melengkapkan premis terbabit.

“Dalam projek ini, ia hanya membina bangunan dengan kos RM90 juta tanpa dilengkapkan peralatan sebagai pusat berita yang memerlukan RM126 juta lagi.

“Berdasarkan tujuan asal, permohonan dana ini sepatutnya dibuat bersama, namun baru sekarang nak minta. Akibatnya, ia kini dijadikan sebagai pejabat saja dan jelas tidak digunakan secara optimum,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Dalam mesyuarat terbabit, beliau menerima penjelasan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berhubung perkara itu.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abu Bakar Ab Rahim dan wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) yang juga memberi penjelasan susulan pengauditan pusat berita berkenan dilakukan Jabatan Audit Negara pada November hingga Disember 2013.

“Alasan yang kami terima adalah RTM kekurangan dana dan sudah memohon dana daripada kerajaan untuk membeli peralatan yang sepatutnya bagi membolehkan ia beroperasi sebagai pusat berita sebenar,” katanya.

Pusat Berita Bersepadu itu berkeluasan 350,000 kaki persegi dan mempunyai tujuh tingkat.

Terdahulu, Nur Jazlan menegur kembali kelewatan projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang sepatutnya siap pada 31 Februari 2012 namun, siap 15 bulan kemudian.

Disiarkan pada: March 26, 2015 @ 9:59am
d