mutakhir

'Geng gemuk' tumpas

Kuala Lumpur: Dipamerkan di tepi jalan sebelum dijual kepada pembeli. Itu taktik digunakan kumpulan penjenayah ‘geng Gemuk’ untuk menjual kenderaan dicuri kepada pembeli.

Sindiket itu yang turut didalangi seorang duda berusia 20-an dikesan ‘mengiklankan’ kereta dicuri di sekitar kawasan perumahan di Cheras di sini.

Bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pemilik kereta, nombor pendaftaran kereta dicuri turut akan dipalsukan.

Bagaimanapun, kegiatan kumpulan ini dilumpuhkan hasil penahanan seorang lelaki berusia 20-an dipercayai seorang ahli kumpulan curi kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, suspek berjaya ditahan di Dataran Dwi Tasik Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini, awal pagi kelmarin.

Menurutnya, suspek berstatus duda itu ditahan pada jam 1.15 pagi ketika berada dalam sebuah kereta model Honda di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dua kunci, satu gulung wayar yang diubah suai dan satu batang besi berbentuk T.

“Pemeriksaan pada kereta dinaiki suspek mendapati ia dilaporkan hilang di Sri Petaling pada 21 Mac lalu,” katanya.

Polis kemudian berjaya menemui semula empat kereta lain membabitkan model Honda Accord, Proton Satria Neo, Honda Civic dan Ford Laser di beberapa lokasi.

“Semua kenderaan itu diletakkan di tepi jalan dipercayai dijual kepada pembeli dengan harga rendah. Semakan mendapati semua kereta itu dilaporkan hilang pada tahun ini,” katanya.

Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Disiarkan pada: March 26, 2015 @ 10:03am
d