mutakhir

'Sudah begini suratan kita...'

Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: Dalam keadaan dirinya sukar bergerak kerana menghidap penyakit saraf, bekas pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Bharu, Kelantan, Ainatun Nadrah Napiah, 26, tetap tabah menjaga dan menguruskan ibunya yang berkerusi roda akibat menderita penyakit sama.

Tanpa menghiraukan kekurangan dirinya, gadis berhati waja berkenaan menguruskan semua keperluan ibunya, Miah Mat Jamin, 50, termasuk menyuapkan makanan serta memandikan wanita itu selain melakukan rutin harian kerja rumah.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, ibunya menderita penyakit saraf lebih 20 tahun lalu dan keadaannya semakin uzur sehingga terpaksa berkerusi roda sejak 2004, manakala dia mula mengalami simptom penyakit berkenaan pada 2008 ketika masih menuntut di universiti.

“Namun, secara perlahan keadaan saya menjadi semakin teruk hingga menjejaskan pergerakan dan pertuturan, malah pernah mengalami cakera tergelincir (slipped disc) dan sering sakit pinggang,” katanya ditemui di kediamannya di Taman Dato Rashid, di sini, kelmarin.

Menurutnya, abang sulung dan adik bongsunya, Ahmed Ikram, 29, dan Ahmad Ikmal, 24, turut menghidap penyakit sama, namun mereka sekeluarga tidak melakukan pemeriksaan perubatan atau rawatan moden, tetapi pernah sekali berubat secara tradisional.

“Hanya abang kedua, Ahmad Fakrulrazi, 27, tidak menghidap penyakit ini dan kini menetap di Johor bersama isterinya kerana bertugas di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di negeri itu, manakala abang sulung pula tidak boleh berjalan serta dijaga isterinya di rumah mereka tidak jauh dari sini,” katanya.

Ainatun Nadrah berkata, dia tinggal bersama ibu dan adik bongsunya di rumah peninggalan arwah bapa mereka itu dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan selain wang pencen arwah bapanya RM800 sebulan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin turut mengunjungi kediaman keluarga terbabit ketika melakukan lawatan mesra di kawasan perumahan berkenaan.

Disiarkan pada: March 26, 2015 @ 10:13am
d