mutakhir

12 jemaah dibenar pulang

Alor Setar: Seramai 12 daripada 19 jemaah yang ditempatkan di wad isolasi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) II, di sini, selepas disyaki mengalami gejala Influenza Like Illness (ILI) sudah dibenarkan pulang.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, daripada 49 jemaah, 19 daripadanya dimasukkan ke wad isolasi pada Isnin dan Selasa lalu berikutan mengalami simptom selesema dan sakit badan sebelum diarah menjalani saringan.

Beliau berkata, setakat ini hanya tujuh jemaah masih mendapatkan rawatan di wad isolasi HSB II, di sini, kerana keadaan mereka belum stabil.

“Daripada 19 jemaah terbabit, lima jemaah sudah dibenarkan pulang pada 24 Mac lalu, tiga jemaah pada 25 Mac lalu manakala empat lagi jemaah sudah dibenarkan pulang hari ini (semalam).

“Setakat ini hanya tinggal tujuh jemaah yang masih dirawat di wad isolasi sebagai kes Influenza bermusim. Semuanya berada dalam keadaan stabil dan dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat,” katanya.

Dr Norhizan berkata, buat masa sekarang tiada kes baru berhubung gejala ILI itu dilaporkan. Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Kedah sentiasa memantau semua jemaah dari Kuala Nerang yang baru pulang mengerjakan umrah.

Disiarkan pada: March 27, 2015 @ 9:10am
d