mutakhir

Ajal bawah tayar treler

Oleh Nur Syazwana Mansor

Gurun: Dua remaja lelaki maut selepas motosikal dinaiki merempuh bahagian kiri sebuah treler sebelum kedua-dua mereka terperosok di bawah treler berkenaan dalam kejadian di Taman Seri Utama, Jalan Raya Gurun, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 8.15 malam itu, mangsa, S Nagarajan, 19, yang menunggang motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, A Robin Roy, 17, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Jerai di sini, ke sebuah majlis perasmian gereja di Jalan Kolam Air, Sungai Petani.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler tanpa muatan yang datang dari arah Sungai Petani membelok ke simpang kanan untuk meletakkan kenderaannya di situ.

Pada masa sama, mangsa yang datang dari arah bertentangan, gagal mengelak lalu merempuh treler terbabit menyebabkan motosikal mereka terperosok di bawah treler menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di bawah tayar treler berkenaan.

Saksi kejadian, Mohammad Ridzuan Ali, 36, berkata dia sedang makan bersama rakannya di sebuah restoran berhampiran terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan lantas segera melihat apa yang berlaku.

Menurutnya, ketika kejadian itu, dia baru saja pulang dari tempat kerja dan singgah di restoran berkenaan sebelum dikejutkan dengan bunyi rempuhan terbabit.

“Sebaik saja menyedari berlaku kemalangan itu, saya bersama rakan cuba mendekati kedua-dua mangsa untuk memberi bantuan, namun tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan badan mangsa tersepit di bawah tayar treler berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak A Mani ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.40 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai enam anggota dari BBP Guar Chempedak bersama enam lagi anggota dari BBP Sungai Petani bergegas ke lokasi kejadian.

“Kami mengambil masa selama tiga minit untuk mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang tersepit di bawah treler berkenaan.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2015 @ 9:22am
d