mutakhir

Bintang suram

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Tiada lagi peluang untuk melihat Bima Sakti secara terus dengan mata kasar di Malaysia kerana terlalu banyak pencemaran cahaya di negara ini sehingga menjejaskan peluang melihat panorama indah langit pada waktu malam.

Pegawai Sains, Bahagian Pendidikan Sains Angkasa Jong Tze Kian berkata, ia berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak menggunakan cahaya dengan betul, sebaliknya dibazirkan untuk pencahayaan bukan semulajadi seperti lampu rumah, papan tanda, selain kegunaan pada bangunan.

“Bukan saja ‘rugi’ kerana tidak dapat melihat pemandangan indah alam semesta, kita juga berdepan pelbagai kesan sampingan kepada kesihatan iaitu kemurungan, tekanan selain pendedahan kepada cahaya yang terlalu lama melemahkan sistem fisiologi badan,” katanya.

Jong berkata, kajian menunjukkan pencemaran cahaya perlu dibendung supaya generasi akan datang berpeluang menikmati keindahan langit pada waktu malam, selain meningkatkan mutu kesihatan orang ramai.

Katanya, kajian menunjukkan pencemaran yang berlaku menyukarkan penduduk negara ini melihat bintang pada waktu malam kerana terdapat cahaya ‘tidak sepatutnya’ yang dihasilkan dari bawah.

“Terlalu banyak cahaya yang kita gunakan secara tidak terkawal menyebabkan berlakunya pencahayaan berlebihan. Misalnya lampu jalan dan rumah secara tidak dikawal. Akibatnya kita tidak dapat melihat panorama di langit kerana gangguan cahaya ini.

“Lebih teruk lagi apabila ia mengganggu cerapan bintang dilakukan ahli astronomi sehingga menyebabkan kita tidak dapat keputusan kajian yang tepat,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Jong berkata, terdapat tiga kategori pencemaran cahaya iaitu silau, cahaya melangkaui sempadan dan pencahayaan langit yang memberi kesan secara umum kepada kesihatan, ekonomi, hidupan liar serta keselamatan.

“Ramai tidak menyedari mereka terdedah kepada risiko kencing manis dan kanser akibat pencahayaan tidak efektif. Ramai juga yang tidak tahu teknik pencahayaan yang salah mengundang risiko kecurian di rumah.

“Jika kita memasang lampu terlalu terang, ia menyebabkan silau dan kita tidak nampak kehadiran orang asing di rumah kita dan itu banyak terjadi kepada lampu limpah yang dipasang untuk tujuan keselamatan.

“Dari aspek ekosistem, ia menyebabkan haiwan hilang kawalan terhadap sistem navigasi dan mengganggu sistem kitaran mereka,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2015 @ 9:30am
d