mutakhir

Galak letak tanda harga baru

Putrajaya: Peniaga digalak meletakkan satu tanda harga saja bagi barangan dan perkhidmatan yang dipasarkan sama ada ia termasuk kos Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) enam peratus, kadar sifar atau dikecualikan cukai itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya ingin menasihatkan peniaga supaya meletakkan tanda harga yang sudah dikenakan GST pada semua barangan dan perkhidmatan ditawarkan bagi mengelak kekeliruan pengguna.

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memastikan pengguna tahu kos sebenar yang mereka perlu bayar kepada peniaga.

“Kami sudah mengeluarkan risalah berkaitan garis panduan membabitkan mekanisme margin keuntungan bersih dan penandaan harga dalam pelaksanaan GST kepada peniaga.

“Menerusi panduan penandaan harga yang ditetapkan, peniaga wajib meletakkan tanda harga pada setiap barang atau contoh barangan dan caj bagi perkhidmatan yang dikenakan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Taklimat dan Majlis Penyerahan Persetujuan Pematuhan Serta Garis Panduan Peniaga di sini semalam.

Hadir sama Timbalannya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Hasan berkata, peniaga juga perlu meletakkan saiz dan warna harga yang jelas serta mudah dilihat termasuk ditandakan dalam Bahasa Malaysia.

Disiarkan pada: March 27, 2015 @ 9:41am
d