mutakhir

Kemanisan dunia, akhirat

Oleh Naqiukamil Abdullah

Shah Alam: Kemanisan kejayaan di dunia lebih bermakna andai seiring dengan kejayaan akhirat. Itu antara isu bakal dikupas sempena konvensyen antarabangsa terbesar pada tahun ini, ‘The Straight Past Destination: Jannah’ yang julung kali berlangsung di negara ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 28 dan 29 Mac ini.

Pengurus program Asyraff Latiffi berkata, empat panel tersohor dijemput bagi menjadi hos program itu selain pengisian menarik seperti 10 topik bakal dibincangkan, bacaan al-Quran, sesi soal jawab bersama penceramah, kuiz di samping hadiah menarik serta bazar jualan.

Beliau berkata, penceramah dijemput termasuk Mufti Ismail Menk dari Zimbabwe, Dr Muhammad Salah (Amerika Syarikat), Sheikh Saeed Rageah (Kanada) dan Abdurraheem Green (England).

“Topik bakal dikupas dalam konvensyen itu The Straight Path to Jannah, Roadblock to Jannah, The Crossroads: Culture or Religion? Building Blocks for Jannah, Steadfast on the Straight Path, People of Jannah, The Forerunners of Jannah, Calling People to the Straight Path, Destination Jahannam: The Eternal Regret dan Your Journey Starts Now,” katanya pada sidang media mengenai konvensyen itu, semalam.

Menurutnya, seramai 4,000 peserta dijangka menghadiri program itu dengan tiket berharga serendah RM100 kepada umat Islam habis dijual sejak diiklankan pada Disember tahun lalu.

Katanya, tiket percuma diberikan kepada penganut bukan Islam, namun 100 tempat masih dibuka dan keutamaan diberikan kepada penganut bukan Islam.

Mufti Ismail Menk berkata, kupasan dan isu berkaitan tauhid dan akidah yang menjadi pegangan bakal dibincangkan berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

“Dalam surah Al-Fatihah sudah menerangkan pentingnya jalan lurus sebagai petunjuk orang mukmin dan kami sebagai ciptaan tuhan harus tahu peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kerana itulah kunci untuk berjaya di dunia dan akhirat.

“Persekitaran yang aman perkara penting di mana bukan saja hubungan dengan pencipta, malah hubungan sesama manusia, hubungan dengan haiwan dan tumbuhan mesti juga dititikberatkan,” katanya

Menurutnya, mengenai isu Negara Islam (IS), mungkin terdapat sesetengah individu yang masih keliru dan menjadikan kekerasan sebagai pegangan hidup dan ia mencemarkan imej islam di mata masyarakat dan ia masalah global dan tidak hanya dipandang serius di Malaysia.

Disiarkan pada: March 27, 2015 @ 9:44am
d