mutakhir

Serang bekas isteri, rakan lelaki

Kuala Terengganu: Seorang lelaki gila talak apabila menyerang bekas isteri dan rakan lelaki wanita itu dalam kejadian di Kampung Mak Chili, Chukai pada Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, wanita berusia 42 tahun itu patah ibu jari kaki kanan, manakala rakan lelakinya yang cedera pada anggota badan dirawat di Hospital Kemaman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama kakak dan rakan lelakinya dalam perjalanan ke rumah abangnya di kampung berkenaan.

Beliau berkata, sebaik tiba di rumah, kereta dinaiki mangsa bersama rakan ditahan kumpulan lelaki diketuai bekas suami dan tiga anaknya serta empat lagi rakan suspek.

“Kumpulan terbabit memukul kereta rakan mangsa dengan kayu sebelum menarik kedua-dua mangsa keluar dari kereta.

“Mangsa bersama rakannya dipukul serta disepak dan suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana mendakwa lelaki terbabit melarikan bekas isterinya,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Selangor dua kali diceraikan suspek dan pulang ke negeri ini untuk menyelesaikan kes di mahkamah syariah.

Katanya, suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana bengang dan tidak berpuas hati mangsa membuat laporan di pejabat agama.

“Mangsa juga memaklumkan suspek sebelum ini pernah mengugut mahu mencederakan dia dan rakan lelakinya.

“Identiti suspek dan ahli kumpulan yang terbabit dalam kejadian itu dikenal pasti dan tangkapan akan dibuat bagi siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan parah,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2015 @ 10:04am
d