mutakhir

Sukar lupakan Ayun

Oleh Norashikin Leman

Klang: Sudah lebih dua tahun tragedi pencerobohan bersenjata di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah berlaku, namun ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan ahli keluarga Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran, 28.

Ibunya, Sadiah Md Amin, 62, serta bapa, Tukiran Ahmad, 67, masih pilu mengenangkan anak kesayangannya yang lebih selesa dipanggil Ayun setiap kali teringatkan peristiwa pencerobohan itu.

Bagi Tukiran, sukar bagi dirinya dan keluarga melupakan kejadian menimpa anak bongsu lelakinya itu walaupun mereka reda dengan ujian Allah.

“Hilang ibu atau bapa berbeza dengan kehilangan anak kerana selama ini saya fikirkan kami yang pergi dulu sebelumnya, namun semuanya berubah sekelip mata.

“Namun, saya saya sedar, ia ujian yang perlu saya terima untuk menerima ganjaran lebih besar kerana Azrul berkorban untuk negara serta mendapat penghormatan Wira Negara,” katanya ketika menerima lawatan Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Daerah Klang Selatan di rumahnya di Kampung Rantau Panjang di sini, semalam.

Menurutnya, bagi menghilangkan kerinduan terhadap anaknya, dia selalu mengingatkan diri serta ahli keluarga lain bahawa ada ujian lebih dahsyat diterima orang lain berbanding mereka.

Katanya, lawatan Bahagian Agama dan Kaunseling IPD Klang Selatan membuktikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah melupakan mereka sekeluarga dengan memberi motivasi dan kata-kata semangat.

Sementara itu, Sadiah berkata, dia masih tidak boleh melihat anggota polis berpakaian seragam kerana pasti akan teringatkan anaknya itu.

Menurutnya, setiap kali berdua dengan suami, sudah pasti kenangan mereka sekeluarga ke Sabah untuk mengambil barang peribadi milik Azrul untuk dibawa pulang masih bermain dalam fikiran.

“Saya pasti berdebar dan sedih terlihat anggota polis sebaya dengan Ayun, malah masih terpahat dalam ingatan lokasi terakhir Ayun bertugas ketika kami dibawa melawat ke sana.

“Tragedi menimpa Ayun dan beberapa lagi rakan setugasnya sememangnya tidak dapat dilupakan tetapi bersyukur dia ‘pergi’ demi mempertahankan kedaulatan tanah air kerana bukan semua orang dapat melakukan perkara seperti ini,” katanya.

Dalam kejadian 2 Mac 2013, Allahyarham Mohd Azrul diserang hendap di Kampung Sri Jaya menyebabkan lima pegawai dan anggota polis lain terbunuh manakala enam pengganas Sulu turut ditembak mati polis dalam insiden kira-kira jam 6.30 petang itu.

Jenazah Mohd Azrul diterbangkan ke Pangkalan Subang dari Tawau, Sabah sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang, kira-kira jam 10 malam dengan dihadiri lebih 5,000 orang bagi memberi penghormatan terakhir.

Disiarkan pada: March 27, 2015 @ 10:08am
d