mutakhir

Penyamun pulang tangan kosong

Petaling Jaya: Cubaan tiga lelaki menyamun sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Taman Sri Manja, di sini, gagal selepas cermin kaca premis terbabit tidak mampu dipecahkan penjenayah itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh memberhentikan motosikalnya sebelum menyerbu ke kedai emas itu.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia melihat suspek masuk dengan membawa sepucuk pistol dan tukul besi.

“Mereka cuba memecahkan cermin kaca dengan tukul besi, namun gagal.

“Saya lihat mereka panik dan terus melarikan diri tanpa sempat melarikan barangan kemas,” katanya.

Menurutnya, kejadian hanya berlaku dalam masa lima minit dan terdapat seorang pekerja wanita.

“Mujur tidak ada pelanggan. Kedudukan kedai emas itu di tepi pintu pasar raya menyebabkan ia mudah menjadi sasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Disiarkan pada: March 28, 2015 @ 6:24am
d