mutakhir

Belanja RM790j untuk penyelidikan

Melaka: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sehingga Februari lalu membelanjakan sebanyak RM790 juta menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-9 bagi tujuan penyelidikan.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Md Diah berkata, peruntukan itu digunakan untuk perbelanjaan 1,934 program penyelidikan yang diluluskan termasuk 494 program yang sudah menamatkan penyelidikan mereka.

Menurutnya, dari 2011 sehingga Februari lalu, MOSTI berjaya mengkomersialkan 54 produk inovasi tempatan.

“Sasaran kita adalah mengkomersialkan sebanyak 360 produk inovasi tempatan menjelang 2020 dan 54 produk masih lagi rendah.

“Jadi untuk mencapai sasaran itu, kita perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya 60 produk inovasi setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Khidmat Masyarakat TV3 sempena Karnival Jom Heboh, di Masjid Ar-Rabbani Pekan Tangga Batu, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Seelan Paul.

Disiarkan pada: March 29, 2015 @ 5:30am
d