mutakhir

Abu dua maut hidu gas di China dibawa balik

Johor Bahru: Mayat dua daripada lima rakyat Malaysia yang maut selepas dipercayai terhidu gas bocor berpunca daripada sistem pemanas air di sebuah pangsapuri di Nanning, China, pada 16 Mac lalu, selamat dibakar dan abunya sudah dibawa pulang ke Malaysia, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata, dua individu itu dikenalpasti sebagai Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Johor Bahru, Chin Yoke Weng, 61 dan Ng Wei Shan, 28.

Beliau berkata, mayat tiga mangsa lain dijangka tiba ke negara ini, Khamis ini sebelum diuruskan mengikut adat dan kepercayaan mereka.

“Mayat Yoke Weng dan Wei Shan selamat dibakar di China dan abunya sudah tiba di Johor, semalam (kelmarin).

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Kedutaan Malaysia di China dan Kerajaan China kerana memberikan kerjasama berhubung kejadian ini,” katanya.

Selain Yoke Weng dan Wei Shan, kejadian itu turut mengorbankan Seah Foo Heng, 48; Tay Chong Chai, 42 dan Tan Bian Chiang, 41, manakala isteri Seah, Lim Kim Lian, 46, terselamat, namun masih mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Nanning.

Difahamkan, semua mangsa berkunjung ke Nanning untuk melancong sambil meninjau peluang perniagaan baru di negara berkenaan selama beberapa hari.

Disiarkan pada: March 29, 2015 @ 6:12am
d