mutakhir

Tunggu dan lihat

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Kebanyakkan peniaga di ibu negara mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sebagai persiapan mereka menghadapi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Rabu ini.

Ini berikutan GST memberi kesan kepada semua bahagian operasi perniagaan, bermula daripada sistem teknologi maklumat, perolehan, jualan dan pemasaran, jabatan penetapan harga, hubungan dengan pembekal, hubungan dengan pelanggan, sehinggalah kepada aliran tunai.

Peniaga kedai runcit Hassan Ibrahim, 65, berkata, peniaga perlu teliti mengenai barangan yang dikenakan GST sebelum memulakan proses meletakkan tanda harga baru.

“Memandangkan GST bertindak menyelaraskan sistem cukai di negara, maka ada harga barang yang akan naik dan turun.

“Bagaimanapun, pengguna berhak mendapatkan maklumat tepat mengenai harga sebenar selepas pelaksanaan GST dan kami (peniaga) hanya boleh menunggu sehingga Rabu ini untuk melihat ragam pelanggan,” katanya semasa ditemui, di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Lembah Klang mendapati rata-rata peniaga masih belum meletakkan tanda harga baru dan hanya menunggu sehingga Rabu ini untuk memulakan perniagaan pada kadar GST yang dilaksanakan kerajaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, peniaga yang berdaftar boleh mula membuat persiapan awal dalam meletakkan tanda harga baru supaya tidak mengelirukan pengguna.

“Pengguna boleh melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekiranya terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikan harga sesuka hati tanpa mengikut kiraan GST yang sebenar,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2015 @ 10:08am
d