mutakhir

Paip pecah

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Kira-kira 8,000 pemegang akaun di USJ, Petaling Jaya dan Bandar Puteri, Puchong, mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak malam kelmarin akibat kejadian paip pecah.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, paip yang menghubungkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Bandar Puteri, Puchong, pecah akibat tanah runtuh.

“Berkaitan gangguan berkalan air di sekitar USJ hari ini (semalam), kebocoran air dalam jumlah yang banyak menyusutkan paras Kolam Air Sime UEP berpunca daripada paip pecah.

“Saya sendiri menyemak sejak 20 Mac lalu LRA Semenyih beroperasi dengan kapasiti maksimum tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zaidy berkata, beliau serta beberapa wakil pihak berkuasa membuat lawatan ke kawasan tanah runtuh berkenaan dan mendapati paip terbabit pecah.

“Bandar Puteri dijangka terus terputus bekalan sehingga paip disambung semula dan ia dijangka siap malam ini. SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor) juga membekalkan air melalui lori tangki kepada penduduk di kawasan yang terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2015 @ 8:44am
d