mutakhir

Remaja ghaib selepas ke tandas

Kota Bharu: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun disyaki hilang ketika mengunjungi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini, Sabtu lalu, bersama ahli keluarga.

Remaja berkenaan sebelum itu memberitahu kakaknya yang berusia 20-an, dia mahu ke tandas namun gagal ditemui sehingga kini. Kehilangannya disedari jam 2 petang sebelum keluarga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah, kelmarin.

Malah, berita kehilangan remaja itu turut dimuat naik dalam laman sosial Facebook baru-baru ini, bagi meminta pertolongan orang ramai yang menemui mangsa supaya menghubungi keluarga dan ia menjadi viral.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, dalam laporan dibuat, remaja itu ada menghantar SMS kepada ahli keluarga memaklumkan dia selamat.

“Kandungan SMS juga menyebut remaja itu merancang untuk bekerja.

“Mangsa berasal dari Pasir Puteh dan datang bersama kakaknya di RTC sebelum tiba-tiba gagal ditemui selepas dia ke tandas.

“Berikutan itu, kakak mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan adiknya,” katanya di sini, semalam.

Rohaimi berkata, pihaknya masih belum membuka kertas siasatan berikutan petunjuk sedia ada mendapati ia membabitkan masalah keluarga.

Namun katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan remaja itu supaya menghubungi balai polis terdekat dengan segera.

Disiarkan pada: March 31, 2015 @ 9:27am
d