mutakhir

Pesanan buat Azmin

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Menteri Besar Mohamed Azmin Ali diingatkan supaya melaksanakan janji diberikan kepada rakyat negeri ini seperti yang dilafazkan ketika mengangkat sumpah jawatan berkenaan.

Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, Mohamed Azmin perlu mengotakan janjinya dibuat sebelum ini.

“Menteri Besar diingatkan supaya tidak derhaka dengan sumpah yang dibuat serta tidak menderhaka pada Sultan Selangor.

“Namun, Mohamed Azmin dilihat seakan sudah melupakan janji dengan mengabaikan rakyat apabila berdolak-dalik dalam isu air, Lebuh raya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan Datum Jelatek,” katanya pada sidang media di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan sentiasa mahukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia termasuklah rakyat di Selangor.

“Saya sendiri dan rakan wakil rakyat dari Barisan Nasional sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat tanpa diskriminasi,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2015 @ 8:47am
d