mutakhir

Tiru London layan OKU

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited untuk terus menyediakan kemudahan terbaik kepada warga kota terutama golongan orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan semua pihak dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, Kuala Lumpur seharusnya perlu mencontohi bandar raya London, England dan Stockholm, Sweden yang menjadi bandar untuk semua jenis golongan.

“Sebagai sebuah bandar raya yang semakin terkenal di peringkat antarabangsa, Kuala Lumpur perlu menyedia dan mempertingkatkan lagi prasarana alam bina yang lebih mesra kepada semua golongan pengguna.

“Untuk itu, kita akan memperkukuhkan lagi bahagian perancangan dalam menentukan mekanisma terbaik bagi memastikan keperluan golongan OKU ini dapat dipenuhi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi dialog bersama golongan OKU dan pihak berkepentingan di Institut Latihan DBKL, di sini, semalam.

Menurut Ahmad Phesal, pembangunan prasarana dan kemudahan di ibu kota bukanlah terletak pada DBKL semata-mata kerana ia seharusnya menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk warga kota sendiri.

Katanya, DBKL berperanan untuk mengawal isu berkaitan pembangunan perbandaran sama seperti pihak berkuasa tempatan lain, tetapi dalam saiz yang jauh lebih besar.

Katanya, isu berkaitan sistem pengangkutan awam contohnya di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan manakala penutupan yang tidak betul di laluan pejalan kaki pula adalah berkaitan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Selain itu, masalah berkaitan kedudukan meter air terutama di kaki lima bangunan pula di bawah tanggungjawab SYABAS begitu juga dengan lokasi pondok telefon yang di bawah seliaan Syarikat Telekom Malaysia.

“Jadi, kita bekerja sama erat dengan agensi berkaitan bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya selamat dan selesa dihuni untuk semua golongan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata, usaha pihaknya untuk membantu golongan OKU tidak bermakna tanpa sokongan dan kerjasama masyarakat.

Katanya, banyak kemudahan yang disediakan untuk OKU sebelum ini disalah gunakan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

“Pihak kerajaan boleh membantu menyediakan kemudahan tetapi masyarakat itu sendiri perlu menjaganya dengan sebaik mungkin.

“Ini kerana banyak kemudahan yang disediakan untuk OKU seperti ruang letak kenderaan, kemudahan laluan pejalan kaki dan sebagainya disalah guna serta menjadi mangsa vandalisme oleh orang ramai,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2015 @ 8:57am
d