mutakhir

PAS sokong perkukuh akta

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: PAS menyatakan komitmen sepenuhnya menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Seksyen 23 dan 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dipinda.

Pindaan itu bagi memperkukuhkan akta berkenaan membabitkan penggubalan undang-undang berkaitan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya yang bebas.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, semua 21 Ahli Parlimen PAS akan menyokong tanpa berbelah bagi usaha membanteras rasuah.

“Bagi Islam rasuah bukan saja salah daripada sudut undang-undang bahkan berdosa dari pandangan agama,” katanya pada majlis makan malam pengurusan tertinggi SPRM bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Terengganu di Parlimen di sini, malam semalam.

Pindaan berkenaan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan yang akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Melalui pindaan itu, pelantikan Ketua Pesuruhjaya dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri dan boleh dipecat pada bila-bila masa.

Selepas pindaan sekiranya diluluskan, pemecatan hanya boleh dibuat melalui tribunal seperti pemecatan hakim.

Pindaan itu bagi membolehkan SPRM mempunyai suruhanjaya perkhidmatan sendiri bagi membolehkannya melantik dan memecat pegawainya berbanding sekarang iaitu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Disiarkan pada: April 1, 2015 @ 9:19am
d