mutakhir

Banjir kilat hujan 2 jam

Subang Jaya: Hujan lebat hampir dua jam mengakibatkan beberapa kawasan perumahan di USJ, Batu Tiga, Padang Jawa, Bukit Jelutong, Kampung Melayu Subang dan Taman Ang Eng, Klang dinaiki air sedalam hampir 0.5 meter, petang semalam.

Hujan bermula kira-kira jam 5 petang itu turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Lebuh raya Shah Alam (KESAS) menghala ke Jalan Kewajipan dan berdekatan kuil di Seksyen 18, Shah Alam serta dilaporkan beberapa pokok tumbang di Seksyen 13 dan Seksyen 19.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, walaupun ada kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kami juga menerima laporan satu cerun di kawasan Bukit Rimau runtuh hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Berikutan itu satu pasukan sudah digegaskan ke lokasi untuk mengawal dan melihat keadaan yang berlaku.

“Di Padang Jawa pula, hujan lebat menyebabkan paras air naik berhampiran lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga beberapa kenderaan tersangkut dalam banjir sedalam hampir 0.5 meter,” katanya.

Selain itu, kawasan Lebuh raya Persekutuan selepas Tol Sungai Rasau menghala ke Kuala Lumpur turut dinaiki air.

Keadaan banjir yang masih tidak surut sehingga jam 7 petang menghalang kenderaan melaluinya, sekali gus menyebabkan kesesakan terutama ketika pengguna dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro di Kampung Melayu Subang mendapati sekurang-kurangnya 40 buah rumah di kawasan kampung itu dinaiki banjir kilat.

Salah seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Haikal, 28, berkata, rumahnya mula dinaiki air pada jam 7 petang.

Menurutnya, kejadian seumpama itu sudah sering berlaku sebelum ini namun tidak mengakibatkan kerosakan serius.

“Penduduk sudah biasa dengan keadaan ini. Bila hujan, paras air sungai akan naik dan penduduk akan memindahkan perkakas rumah terlebih dahulu,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2015 @ 9:32am
d