mutakhir

Kandungan gugur 'dilanyak' suami

Kajang: Hanya kerana tidak membenarkan keretanya digunakan suami, seorang wanita yang mengandung enam minggu keguguran selepas ditendang suaminya sekuat hati.

Dalam kejadian jam 12.30 malam Khamis lalu, suspek dikatakan mahu menggunakan kenderaan milik isterinya sejurus mangsa pulang dari tempat kerja di Bandar Baru Bangi, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek yang gagal mendapatkan kunci kenderaan naik angin sebelum menampar, menumbuk dan menendang perut isterinya itu.

“Suspek yang tidak berpuas hati mengacukan pisau lalu mengambil wang tunai RM400 milik mangsa.

“Lelaki ini bertindak ganas apabila mengamuk dengan memecahkan telefon bimbit sebelum keluar rumah. Suspek turut memecahkan cermin bahagian hadapan kereta isterinya,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian itu suspek merosakkan pelbagai barangan di dalam rumah didiaminya.

“Mangsa yang bekerja di pusat kecantikan itu patah hidung akibat ditumbuk dan terdapat kesan lebam di badan dalam kejadian itu.

“Dia yang kesal dengan tindakan suaminya tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi di sini, sebelum mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Ab Rashid berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Disiarkan pada: April 1, 2015 @ 9:48am
d