mutakhir

1,076KM tanpa tol

Oleh Shamran Sarahan

Bintulu: Kerajaan memutuskan laluan Lebuhraya Pan Borneo dikecualikan daripada sebarang bayaran tol dan pembinaannya sepanjang 1,076 kilometer di negeri ini dijangka siap menjelang 2023 membabitkan kos keseluruhan RM15 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pembinaannya sebagai jalan utama di negeri ini yang tidak sama dengan tujuan pembinaan lebuh raya di Semenanjung seperti Lebuhraya Utara-Selatan.

“Kenapa tidak ada tol? Saya nak terangkan tujuan pembinaan lebuh raya ini adalah kerana ia adalah jalan utama di negeri ini, bukan jalan alternatif. Penduduk (Sarawak) tiada pilihan (laluan) jalan lain melainkan jalan ini, sebab itulah tiada tol.

“Di Semenanjung, Lebuhraya Utara-Selatan adalah jalan alternatif, orang ramai boleh menggunakan laluan lain yang diselenggarakan Jabatan Kerja Raya tanpa perlu membayar tol,” katanya pada majlis pelancaran lebuh raya itu di Hentian Rawat dan Rehat Simpang Bakun, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dalam pada itu, Najib turut memberi jaminan projek berkenaan boleh disiapkan mengikut jadual ditetapkan memandangkan pelaksanaannya berdasarkan kepada konsep Usahasama Kerajaan Swasta (PPP).

Beliau berkata, ia akan membantu meminimumkan risiko kerugian wang kerajaan sekiranya projek lewat disiapkan kerana ia akan ditanggung sepenuhnya pihak yang melaksanakan kontrak pembinaan jalan itu nanti.

“Mereka (kontraktor) akan berusaha sebaik mungkin mematuhi jadual pembinaan ditetapkan kerana perlu menanggung sebarang peningkatan kos disebabkan masalah kelewatan.

“Namun, saya yakin dan bersikap optimis lebuh raya ini dapat disiapkan pada 2023 seperti dijadualkan,” katanya.

Beliau juga menegaskan setiap syarikat kontraktor, subkontraktor dan perunding yang dipilih hanya akan membabitkan anak tempatan dalam kalangan penduduk Sarawak saja.

Menurutnya, pelaksanaannya juga hanya akan mewakili kepentingan semua suku kaum di negeri ini.

Disiarkan pada: April 1, 2015 @ 9:52am
d