mutakhir

Kalut belanja sebelum GST

Oleh Naqiukamil Abdullah

Klang: “Saya datang membeli-belah kerana esok (hari ini) pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bakal bermula,” kata seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Goh, 40-an.

Semalam adalah hari terakhir untuk pengguna mendapatkan barangan pada harga lama sebelum sistem cukai baru GST berkuat kuasa mulai hari ini.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit mendapati ada pengguna berbelanja besar untuk mendapatkan bekalan barangan pada saat akhir sebelum pelaksanaan GST dimulakan.

Menurut Goh, kebanyakan barangan yang dibelinya adalah peralatan mandian dan kelengkapan rumah seperti sabun, ubat gigi, lampin pakai buang dan pencuci pinggan mangkuk.

“Saya berbelanja RM761.60 hari ini (semalam) dan jika saya membeli keperluan sama esok (hari ini), saya perlu membayar GST sebanyak enam peratus iaitu kira-kira RM40.

“Sebagai suri rumah, saya masih berpeluang untuk datang berbelanja pada hari terakhir kerana tahu keadaan lebih lengang jika dibandingkan pada hujung minggu lalu,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Sementara itu, pemilik kedai runcit Lapan Lapan Maju Enterprise yang terletak di Pasar Besar Klang, Mohd Nasrul Yahya, 35, berkata, ramai pelanggannya tidak tahu kedai runcitnya juga turut dikenakan GST.

“Saya akur berhubung arahan GST dan percaya setiap yang dilakukan ada kebaikan,” katanya.

Seorang pelanggan Ahmad Salimin Sariman, 45, berkata, peniaga harus telus dalam memberitahu kepada pelanggan setiap barang yang dikenakan GST bagi mengelakkan unsur penipuan.

Disiarkan pada: April 1, 2015 @ 10:03am
d