mutakhir

Dua tali barut edar dadah, senjata api dicekup

Seremban: Dua lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah dan senjata api diberkas polis susulan dua ahli sindiket itu mati ditembak, 21 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusuf berkata, suspek berusia 28 dan 36 tahun itu ditahan di Seremban dan Sendayan di sini, minggu lalu.

Menurutnya, pihaknya menahan seorang suspek di kawasan awam di Seremban pada 25 Mac lalu dan hasil penahanan itu, seorang lagi suspek berusia 28 tahun ditahan pada 27 Mac di Sendayan.

“Selepas penahanan kedua-dua suspek itu, kita melakukan serbuan di sebuah kawasan di Seremban dan menemui sepucuk pistol model Phyton bersama 15 butir peluru. Turut dijumpai dadah disyaki heroin seberat 3.7 kilogram dan syabu seberat dua kilogram.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Negeri Sembilan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Superintendan Khoo Leng Huat.

Nor Azman berkata, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Beliau tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek ialah ahli kumpulan sindiket yang mana dua daripada mereka ditembak mati di Jalan Rasah, berhampiran Plaza Tol Port Dickson-Kuala Lumpur, pada 21 Mac lalu.

Disiarkan pada: April 2, 2015 @ 9:17am
d