mutakhir

Tangani impak

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat, kerajaan mengambil inisiatif dengan memperluaskan senarai barangan asas yang dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak pelaksanaan cukai baru itu, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, inisiatif itu turut membabitkan barangan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, ayam, daging, ikan dan beberapa barangan lain.

“Pengecualian itu turut membabitkan ubat-ubatan, buku, minyak petrol RON95 dan diesel. Berdasarkan pengiraan Kementerian Kewangan mendapati kesan GST terhadap kadar inflasi menunjukkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus.

“Memandangkan kadar inflasi ini adalah pada kadar satu hingga dua peratus, purata kadar inflasi bagi tahun ini dijangka sekitar tiga peratus iaitu tahap yang berpatutan dan terendah di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, semalam.

Abdul Wahid berkata, ketika pelaksanaan GST yang diumumkan pada Bajet 2014 lalu, kerajaan mengambil langkah ‘pengimbangan’ seperti pengurangan cukai pendapatan individu antara satu hingga tiga peratus, pengurangan cukai pendapatan korporat daripada 25 peratus hingga 24 peratus.

Beliau dalam kenyataan itu berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mengalami pengurangan cukai daripada 20 peratus kepada 19 peratus dan ini termasuk inisiatif kerajaan menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Seperti dalam mana-mana pelaksanaan sistem baru, memang akan terdapat isu pelaksanaan pada peringkat awal. Untuk itu, kerajaan sudah mewujudkan GST Hotline Jabatan Kastam di talian 1300 88 8500 dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di talian 1300 88 6800.

“Untuk makluman, kadar enam peratus GST yang dikenakan adalah yang terendah di ASEAN dan antara terendah di dunia. Contohnya, kadar di Singapura adalah tujuh peratus, Thailand (7 peratus), Indonesia (10 peratus), Vietnam (10 peratus), Filipina (12 peratus),” katanya.

Beliau turut menjelaskan tidak semua harga barang dan perkhidmatan akan naik dan terdapat juga yang mengalami penurunan seperti harga kereta.

Disiarkan pada: April 2, 2015 @ 9:50am
d