mutakhir

Kos enam peratus diserap dalam harga

Kuala Lumpur: Selaras dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula semalam, kos cukai sebanyak enam peratus bagi beberapa barangan terpilih sudah mula diserap ke dalam harga barangan dijual.

Kaedah itu memudahkan orang ramai dalam urusan jual beli dilakukan di kaunter pembayaran kerana tidak perlu membuat pengiraan penambahan semula terhadap kos cukai itu.

Tinjauan Harian Metro di sebuah pasar raya di Bangsar mendapati setiap resit pembelian barangan kini disertakan rujukan nombor identiti GST yang menandakan bahawa pasar raya itu sudah pun berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk melaksanakan GST.

Suri rumah Khaliah Abbas, 56, berkata kaedah menyerap enam peratus cukai GST ke dalam harga barangan yang dibeli itu sedikit sebanyak memudahkan pengguna untuk membayar tanpa perlu bersusah payah memikirkan harga selepas GST.

“Cara ini adalah sepatutnya dilakukan malah menyenangkan dalam membuat pengiraan. Apa yang saya suka adalah penerangan harga asal barangan itu sebelum ditambah dengan enam peratus cukai GST,” katanya.

Katanya, walaupun pengenalan GST ini menyebabkan beberapa harga barang mengalami kenaikan, cara yang dilakukan oleh pasar raya itu sekurang-kurangnya membuatkan pengguna mengetahui kiraan bayaran mereka pada resit yang diberikan.

Menurut pemandu teksi, Tan Kim Seng, 43, memang terdapat perbezaan dalam harga barang selepas cukai GST dilaksanakan.

“Saya akui terdapat peningkatan sedikit dari segi harga barangan, namun makluman menerusi resit pembelian sekurang-kurangnya dapatlah kita mengetahui apakah harga sebenar bagi barangan yang dijual itu,” katanya.

Pada masa sama, dia berharap pihak berkuasa seperti penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dapat membuat pemantauan menyeluruh dalam membanteras peniaga yang sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga bersempena pelaksanaan GST.

Sementara itu, peniaga kedai runcit masih mengekalkan harga tanpa mengenakan sebarang GST berikutan perolehan tahunan perniagaan di bawah RM500,000.

K Thanaraj, 45, berkata harga di kedainya tidak berubah mahupun mempunyai cukai GST kerana perniagaan runcit yang dijalankan adalah kecil-kecilan.

Disiarkan pada: April 2, 2015 @ 9:53am
d