mutakhir

Lori tong gas meletup

Oleh Naqiukamil Abdullah

Shah Alam: “Ketika memandu, saya ternampak percikan api melalui cermin sisi sebelah kiri treler dan segera berhenti di bahu jalan serta cuba memadamkan api menggunakan air, namun gagal apabila api merebak dengan pantas sebelum tong gas itu meletup,” kata pemandu treler Y Vijayan, 50, selepas kenderaan yang membawa tong gas petroleum cecair (LPG) terbakar di Kilometer 8.2, Lebuhraya Shahpadu, Klang malam kelmarin.

Treler dipandunya itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Utara menuju ke Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk menghantar 800 unit tong gas LPG sebelum mengalami kebakaran di lebuh raya berkenaan.

“Dalam perjalanan ke Pelabuhan Barat untuk mengambil 800 tong gas itu saya merasakan seperti ada yang tidak kena dengan lori ini apabila sistem brek tidak memuaskan dan ada berfikir membaikinya sebelum bertolak ke Pulau Pinang.

“Kira-kira jam 5 petang, saya ke Pelabuhan Utara untuk urusan membaiki sistem brek dan ia siap kira-kira jam 11.15 malam tadi (malam kelmarin) dan selepas 15 minit memulakan perjalanan dan tiba di bawah jambatan di lebuh raya ini, saya nampak percikan api bermula dari tayar dan merebak ke tong gas kerana jarak yang begitu dekat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: April 3, 2015 @ 8:09am
d