mutakhir

'Tetamu' datang bawa parang

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Sebuah keluarga menempuh detik cemas hampir 10 minit apabila kediaman mereka didatangi tiga lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang dan pemutar skru di Taman Sri Sentosa, Sungai Pelek di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 39 tahun yang juga penghuni rumah itu sedang berada di luar rumah untuk ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata, mangsa kemudian dikejutkan dengan kehadiran tiga individu tidak dikenali yang kemudiannya bertindak menyamun lelaki berkenaan.

“Rumah mangsa diserbu secara tiba-tiba oleh tiga suspek tidak dikenali berusia dalam anggaran 30-an dengan melompat pagar sebelum meluru ke dalam rumah.

“Pada masa sama, seorang daripada suspek yang memegang senjata iaitu parang dan pemutar skru mengacukannya kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Yusoff berkata, sebaik masuk ke rumah, suspek menggeledah kediaman mangsa untuk mencari barang berharga.

“Antara barang yang berjaya dilarikan ialah komputer riba, barang kemas seperti rantai dan cincin selain wang tunai.

“Jumlah keseluruhan kerugian dihadapi mangsa dianggarkan antara RM8,000 hingga RM10,000,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mangsa juga tidak dapat mengetahui jenis kenderaan digunakan suspek ketika kejadian.

“Bagaimanapun, kita sudah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa berhubung kejadian ini dan menghantarnya ke unit forensik untuk dianalisis.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2015 @ 9:54am
d