mutakhir

12 rumah retak

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Kawasan di Jalan Plumbum 7/101A di Seksyen 7, dekat sini, diisytiharkan kawasan bencana Tahap Satu selepas berlaku tanah mendap menyebabkan 12 rumah di situ retak teruk, petang semalam.

Kejadian itu memaksa semua penghuni 12 rumah terbabit keluar serta-merta daripada rumah masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pegawai Daerah Petaling Datuk Mohd Misri Idris berkata, keputusan mengisytiharkan lokasi itu sebagai kawasan bencana Tahap Satu dibuat pada jam 9.35 malam tadi.

“Notis sudah dikeluarkan kepada penghuni supaya berpindah. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menempatkan penduduk terjejas di sebuah hotel berhampiran untuk sementara waktu,” katanya.

Beliau berkata, PKNS turut bersetuju menawarkan sewaan rumah kosong miliknya kepada penduduk terjejas buat sementara waktu.

“Pada masa sama kajian mengenai kejadian ini dilakukan dan ia mengambil masa tiga ke empat bulan dan selepas itu baru kita ketahui sama ada ia dirobohkan atau dibaik pulih,” katanya.

Difahamkan, kejadian disedari berlaku kira-kira jam 4 petang semalam apabila tembok penghadang di salah sebuah rumah runtuh selepas berlaku tanah mendap.

Mohd Misri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah berkata, masalah tanah mendap di kawasan itu sudah berlaku sejak 2011 dan sebuah daripada rumah terjejas didapati mendap sedalam 1.2 meter manakala hujan lebat dipercayai menyumbang kepada kejadian terbaru itu.

Menurutnya, penduduk di unit lain yang tidak terjejas boleh berpindah keluar jika mereka bimbang untuk terus tinggal di kawasan itu.

Disiarkan pada: April 3, 2015 @ 10:10am
d