mutakhir

Bantu usahawan Islam

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mahu lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu usahawan Bumiputera Islam secara langsung seperti yang dilakukan Lembaga Tabung Haji (TH).

Perdana Menteri berkata, pemerkasaan Bumiputera adalah agenda nasional yang wajar disokong GLC dalam usaha membuka lebih banyak peluang dan mengangkat martabat usahawan kaum itu di negara ini.

“Hari ini (semalam) TH melancarkan Dana Bumiputera Al-Ansar sebanyak RM200 juta bagi memperkasa dan meningkatkan ekonomi usahawan Bumiputera Muslim di negara ini.

“Langkah ini adalah suatu yang murni dan memberi impak besar, jadi GLC lain patut mengikut jejak langkah TH ini,” kata beliau ketika berucap melancarkan dana itu di Parlimen di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi, TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sebelum ini program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) menyediakan geran sehingga RM500,000 bagi membantu kaum terbabit.

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang menyokong idea perniagaan yang kreatif serta inovatif daripada usahawan muda Bumiputera menyediakan dana sebanyak RM100 juta untuk tempoh tiga tahun menerusi program SUPERB.

Usahawan kaum itu turut diberi perhatian melalui kelulusan Dana Mudah Cara Bumiputera sebanyak RM1.26 bilion.

Najib berkata, pelaksanaan dana itu adalah di bawah Akaun Pelaburan Terhad (RIA) yang pertama patuh syariah di Malaysia dan memperoleh kelulusan Bank Negara.

Kata beliau, pinjaman itu menawarkan pembiayaan bernilai antara RM50,000 hingga RM1 juta yang akan disalurkan oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Disiarkan pada: April 3, 2015 @ 10:14am
d