mutakhir

Bala rokok seludup

Oleh Mohd Khidir Zakaria dan Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kuala Lumpur : Dua warga emas masing-masing berusia 73 tahun dan 64 tahun antara tiga individu ditahan kerana disyaki terbabit dengan penjualan rokok seludup dalam serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sembilan negeri antara 30 Mac hingga semalam.

Operasi dilaksanakan di Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur itu selaras dengan rutin JKDM menerusi Op Outlet dan Op Pacak untuk melumpuhkan rantaian rokok seludup di seluruh negara.

Di Port Dickson, Negeri Sembilan, seorang lelaki berusia 73 tahun ditahan selepas pemeriksaan dalam operasi bermula jam 2.30 petang, Selasa lalu diketuai Pegawai Kastam Kanan negeri Norazrin Zainudin bersama tiga anggota penguat kuasa menemui rokok seludup pelbagai jenama di premis itu.

Nilai rampasan rokok seludup itu dianggarkan RM404.80 membabitkan cukai RM2,532.85 dan difahamkan rokok berkenaan dijual dengan harga RM3 sehingga RM5 sekotak mengikut jenama.

Di Permatang Pauh, Pulau Pinang, seorang pengusaha restoran di Lorong Pauh 2, Taman Pauh, ditahan selepas pihak berkuasa menemui lapan karton rokok seludup jenama John di dalam premis lelaki berusia 64 tahun itu.

Di Kelantan, cubaan seorang peruncit menyembunyikan rokok seludup di kedainya di Taman Desa Rahmat, Kota Bharu tidak menjadi apabila barang terlarang itu ditemui pegawai penguat kuasa JKDM.

Penguat kuasa JKDM yang menyerbu kedai itu menemui enam karton rokok seludup jenama John, Gudang Garam Surya dan Gudang Garam Nusantara sebelum menahan lelaki berusia lingkungan 50 tahun yang juga pemilik premis.

Sebelum ini, kedai runcit itu pernah diserbu beberapa kali, namun pemilik premis sering terlepas kerana gagal menemui rokok seludup.

Semua pemilik premis itu akan didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, di ibu kota, seorang penjaja sanggup lari meninggalkan gerainya di Pasar Seni apabila menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa JKDM.

Penguat kuasa yang membuat pemeriksaan merampas sejumlah rokok seludup ditemui di gerai itu.

Di Johor, sepasukan anggota dan pegawai JKDM turut berjaya merampas sejumlah rokok seludup jenama John, Canyon dan U2 ketika serbuan di sebuah kedai runcit di Jalan Gangsa 1, Taman Gunung Pulai di Johor Bahru.

Disiarkan pada: April 3, 2015 @ 10:33am
d