mutakhir

Gembira bertukar duka

Kota Belud: Kegembiraan lima bersaudara beriadah di sungai bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka ditemui lemas dalam kejadian di sungai Kampung Rajuna, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Mohd Fazli Nordin, 13, yang juga dipercayai orang kurang upaya (OKU) dikatakan mengikut empat sepupunya berkelah dan mandi di kawasan berkenaan.

Ketika mandi, seorang sepupu mangsa menyedari kehilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad, Kota Belud itu dan berusaha mencarinya namun gagal.

Sepupu mangsa mendapatkan bantuan orang kampung sebelum menghubungi pihak berkuasa bagi mencari pelajar terbabit yang hilang.

Bagaimanapun, selepas sejam usaha pencarian dilakukan, mangsa ditemui tiga meter dari tempat dia dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, pasukan perubatan berusaha memberi bantuan pernafasan namun gagal dan mangsa disahkan meninggal dunia.

Disiarkan pada: April 4, 2015 @ 5:36am
d