mutakhir

Minta tempoh sebulan

Oleh Erywan Norshal

Subang Jaya: Empat syarikat telekomunikasi (telco) gergasi negara ini bersetuju mengekalkan harga kupon tambah nilai kad prabayar telefon bimbit seperti sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada Rabu lalu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, persetujuan itu diperoleh selepas rundingan semalam antara empat telco membabitkan Celcom, Maxis, Digi dan U Mobile, namum mereka memohon supaya memberi tempoh sebulan untuk melaksanakan harga asal seperti sebelum ini bagi menukar sistem syarikat masing-masing.

“Selepas sistem terbaru itu dilaksanakan, ini bermakna pengguna yang membeli kupon tambah nilai kad prabayar seperti berharga RM10 akan turut menikmati masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan jumlah bayaran berkenaan.

“Dalam jumlah RM10 itu, mereka sudah pun membayar GST iaitu 57 sen manakala harga kupon tambah nilai kad prabayar bernilai RM9.43,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kompleks Pusat Kecemerlangan Proton (COE), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holding Berhad, Datuk Abdul Harith Abdullah dan Pengarah Kastam Selangor, Datuk Badaruddin Mohamed Rafik.

Perubahan itu dilakukan selepas menerima bantahan apabila pengguna yang terpaksa membayar lebih kupon tambah nilai kad prabayar selepas pelaksanaan GST berkenaan.

Harian Metro semalam melaporkan semua syarikat telekomunikasi tetap mengenakan caj GST bagi kupon tambah nilai kad prabayar telefon bimbit mereka.

Namun, pada masa sama syarikat itu menawarkan tambahan kredit masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) melebihi RM1.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan kenyataan terbarunya semalam bersama pembekal komunikasi Celcom, DiGi, Maxis dan U Mobile untuk menjelaskan isu GST bagi perkhidmatan prabayar.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, pihaknya diberi taklimat oleh telco mengenai perkara itu. Sejak dari mula, perkhidmatan komunikasi tidak termasuk dalam senarai barangan yang dikecualikan atau ‘zero rated’ daripada GST, bermakna pengguna perlu membayar GST untuk perkhidmatan itu. Ini termasuk isian semula prabayar.

Dr Halim menegaskan isian semula prabayar tertakluk kepada GST dan ini mematuhi Akta GST 2014.

“Nilai prabayar adalah sama dengan nilainya sebelum pelaksanaan GST, bezanya hanyalah GST ditambah kepada amaun prabayar.

“Menurut keempat-empat pembekal perkhidmatan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bersetuju dengan cara pelaksanaan GST ke atas isian semula prabayar seperti dibincangkan dalam mesyuarat yang berlangsung semalam di antara Jabatan Kastam dan wakil daripada keempat-empat pembekal perkhidmatan komunikasi,” katanya.

Namun, bagi meringankan beban pengguna, Dr Halim menjelaskan, sebagai langkah peralihan pengguna yang mengisi semula RM5 ke atas akan mendapat nilai tambahan melebihi GST 6 peratus yakni dalam bentuk minit dan pesanan teks percuma. Tempoh peralihan bermula semalam selama tiga bulan.

Satu kajian dijalankan oleh pembekal perkhidmatan komunikasi bagi menilai sama ada pengguna cenderung kepada nilai isian semula yang lebih rendah di mana GST akan dikenakan. Contohnya, isian semula RM10.00 boleh dijual pada harga RM10.60 (isian semula RM10 tambah GST 6%) atau RM10.00 (isian semula RM9.43 tambah GST 6%).

Sementara itu, pihak industri bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta MCMC dalam membangunkan pakej jalur lebar yang lebih mampu dimiliki oleh rakyat. Pengumuman dijangka dibuat pertengahan bulan April.

Disiarkan pada: April 4, 2015 @ 5:37am
d