mutakhir

'Persembahan' menarik bulan

Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Orang ramai berpeluang menyaksikan satu-satunya fenomena gerhana bulan penuh yang dapat dilihat di Malaysia pada tahun ini, mulai petang ini.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam kenyataannya berkata, fasa fenomena itu akan bermula pada jam 5.01 petang iaitu ketika bulan memasuki bayang-bayang penumbra.

Kemuncak gerhana berlaku pada jam 8 malam dan akan berakhir pada jam 10.59 malam iaitu apabila bulan keluar dari bayang-bayang penumbra.

Menurut kenyataan itu, di Sabah, bulan akan terbit lebih awal berbanding di Semenanjung iaitu sekitar jam 6 petang dan penduduk di negeri itu dapat menyaksikan fenomena itu bermula dari fasa separa sehingga tamat keseluruhan gerhana.

“Di Semenanjung pula, bulan hanya akan terbit sekitar jam 7.20 malam dan ini bermakna fasa gerhana bulan penuh bermula sejurus selepas bulan terbit,” katanya.

Katanya, lokasi terbaik untuk melihat adalah di kawasan paling timur dengan ufuk yang tidak terlindung.

ANGKASA dan Jabatan Mufti Selangor juga akan mengadakan program pencerapan bulan dan planet Musytari, melihat bintang Sirus dan buruj Belantik (Orion) di pekarangan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong Selangor.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyaran agar masjid dan surau mengadakan solat sunat khusuf (solat sunat gerhana bulan) beserta khutbah gerhana.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata, pihaknya melalui masjid utama seperti Masjid Negara di ibu negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya akan menganjurkan solat sunat khusuf selepas solat Maghrib.

Disiarkan pada: April 4, 2015 @ 5:38am
d