mutakhir

Terkedu kereta mewah hangus

Melaka: Seorang lelaki terkedu apabila kenderaan mewah dipandu tiba-tiba berasap sebelum terbakar ketika dalam perjalanan balik ke rumahnya di Jalan Sungai Putat, Batu Berendam, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, pemandu kereta Volvo S60, Dexter Teo Hui Chua, 31, dari Batu Berendam dalam perjalanan ke Flat Bukit Piatu, di sini.

Sumber berkata, difahamkan mangsa baru pulang dari berniaga di sekitar pusat bandar Melaka.

“Mangsa yang terhidu bau asap di dalam kereta berasa hairan lalu membuka tingkap keretanya sebelum berlaku letupan kecil pada bahagian enjin yang memercikkan api.

“Cemas dengan kejadian itu, dia cuba menghentikan kereta namun berdepan masalah sebelum kereta dipandunya terhenti sendiri di kiri jalan. Mangsa kemudian keluar dari keretanya.

“Mangsa bernasib baik kerana sebaik keluar dari kereta, api marak di bahagian enjin sebelum membakar keseluruhan kereta itu.

“Orang ramai menghubungi talian kecemasan meminta pasukan bomba dan penyelamat ke lokasi kejadian,” kata sumber ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba II Hasri Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) pada jam 11.16 malam mengenai kejadian.

“Lima anggota dan sebuah jentera tiba di tempat kejadian mendapati api masih marak di bahagian enjin dan sebahagian bumbung dan dalaman kereta sedang terbakar sebelum api dapat dipadam 10 minit kemudian.

“Difahamkan ketika kejadian kereta sedang bergerak namun mangsa sempat lompat keluar dari kenderaan yang terhenti dan terbakar tanpa alami kecederaan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2015 @ 5:28am
d